Nak Letak Mana Duit Raya Anak-Anak? Pilihan terakhir tak ramai yang tahu…

Isi Kandungan

Dah puas beraya, anak-anak pun dah nak masuk sekolah semula.

Sebelum kita cerita pasal duit raya anak, kerja sekolah dah siap ke tuuu…. hehe

Baik, pertama sekali.

Duit raya yang anak-anak terima, adalah hak milik anak-anak, bukan milik mak ayah. Mak ayah hanyalah pemegang amanah sahaja.

Kena jelas bab ni dulu ya.

Kalau mak ayah dalam kesempitan dan terdesak, boleh je guna dulu, tapi kira atas dasar pinjam dan perlu diganti semula. Kami pun pernah juga macam ni satu ketika dulu, dan alhamdulillah jumlah yang dipinjam telah diganti semula.

Sekarang ke agenda utama, nak letak di mana?

Ada beberapa pilihan platform berdasarkan keadaan kewangan semasa ibu ayah.

 

1. SSPN

Saya letak SSPN sebagai pilihan pertama terutama untuk ibu ayah yang termasuk dalam kategori pendapatan tahunan individu melebihi 100 ribu.

Kenapa 100k ke atas?

Sebab pendapatan 100k ke atas dah masuk tax bracket 25%.

Sehingga tahun 2024, anda masih lagi boleh menikmati pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun dan dengan pelepasan cukai ini, jumlah cukai yang dapat anda kurangkan (secara legal) ialah sehingga RM2,000 (sekiranya termasuk dalam tax bracket 25%).

Pilihan ini paling tepat untuk ibu ayah yang tak mampu nak cukupkan jumlah RM8,000 dengan duit sendiri, maka boleh gunakan duit raya anak-anak bagi mencapai maksud sama.

Bila dapat tax refund, bolehlah guna untuk belanja sekolah anak-anak semula.

Cuma, pilihan ini tidak terpakai jika ibu ayah memang dah siapkan duit asing untuk tujuan SSPN. Pilihan ini juga tidak terpakai (sangat) sekiranya jumlah PCB tahunan anda di bawah RM5,000.

Ini kerana, walaupun anda nak usaha dapatkan semua pelepasan cukai yang ada, jumlah tax refund yang akan anda dapat, bergantung kepada jumlah PCB tahunan anda sahaja.

Kita masukkan duit ke SSPN ni hanya satu agenda, untuk dapatkan pelepasan cukai, bukan untuk dapatkan pulangan sangat.

Kalau ibu ayah ada duit yang cukup untuk masukkan ke SSPN, boleh skip platform ini.

 

2. ASB / ASB 2 / ASB 3 – Didik

Pilihan kedua ini antara yang paling popular dan untuk sebab yang jelas. Mudah, hampir tiada risiko kerugian (sebab ia adalah dana harga tetap) dengan kadar pulangan yang selalunya lebih tinggi dari kadar inflasi.

Kalau anda memegang pegangan fatwa yang mengatakan ASB adalah haram, maka pilihan yang lebih sesuai ialah ASB 3 – Didik. Dana ini tidak seperti ASB atau ASB 2 yang mempunyai pegangan yang besar di dalam Maybank.

Jelas?

Tapi banyak mana perlu simpan di dalam ASB?

Ini kita kupas kemudian.

Oh ya, sekarang dah boleh buka akaun online juga.

 

3. AHB

Platform ini adalah alternatif terbaik jika tak mahu simpan di ASB.

AHB adalah sejenis dana unit tetap juga, tetapi pegangan di dalam aset hartanah. Buat masa ini, unit AHB masih lagi boleh dibeli melalui portal Maybank. Tak perlu ke branch, boleh buka online sahaja. Di antara unique selling point ialah, kadar pulangan yang lebih kurang sama dengan ASB, tetapi ia sudah pun dizakatkan. Maka, tak perlu risau kiraan zakat lagi berbanding ASB.

Cuma satu saja kekurangan, dari segi pengeluaran, perlu ke branch untuk buat pengeluaran pertama, dan terhad kepada satu kali pengeluaran dalam sebulan. Tapi saya kira bagus juga begini supaya dapat kekal disiplin menyimpan dan tak berlaku insiden korek-korek hujung bulan.

 

4. Tabung Haji

Sekiranya anak-anak belum ada akaun TH, maka boleh gunakan duit raya awal untuk tujuan ini. Dan sekiranya belum cukup jumlah RM1,300, adalah disarankan untuk cukupkan dulu jumlah tersebut di TH sebelum letak di mana-mana platform lain. Jumlah ini supaya kita dapat daftarkan anak-anak kita untuk dapat giliran Haji.

Tapi, jika anak-anak sudah ada lebih dari RM1,300 dalam akaun TH mereka, adalah lebih efficient untuk simpan duit raya mereka di tempat lain selain TH.

Sebab apa saya cakap begini?

a) Keutamaan hak anak yang kita perlu sediakan ialah untuk pendidikan. Kemudian kalau ada lebih, baru siapkan untuk benda lain. Contohnya, simpanan Haji, ataupun simpanan untuk persediaan perkahwinan mereka.

b) Anak kita kemungkinan besar akan melanjutkan pelajaran ke kolej, universiti dahulu, sebelum mereka pergi Haji. Jadi, susun ikut keutamaan waktu.

c) Kadar pulangan selepas zakat yang tidak begitu memberangsangkan, berbanding AHB (yang juga sudah dizakatkan). I have nothing against TH, but the above opinion is as objective as it can be.

Dan, platform yang terakhir.

 

5. Dana unit amanah / Unit Trust Funds / Roboadvisor

Sekiranya anda sudah ada 4 akaun di atas untuk anak-anak, maka saya sarankan anda terokai peluang untuk mula melabur di dalam dana unit amanah (yang bukan harga tetap seperti ASB) untuk dapatkan pendedahan di pasaran global.

Pilihlah funds yang ada pendedahan di dalam pasaran maju seperti US, Europe, Japan, Asia Pacific yang syariah compliant.

Ada begitu banyak pilihan yang ada.

Dan kalau anda rasa tak tahu nak pilih macam mana, boleh gunakan platform seperti Roboadvisor yang pelbagai. Cuma setahu saya, pilihan yang syariah compliant dan ada pendedahan dalam pasaran global, agak terbatas.

Semua 4 pilihan pertama tadi kebanyakannya hanya melabur di dalam Malaysia sahaja. Dan kita pun tahu, pasaran di Malaysia dalam 10 tahun kebelakangan ini tidak begitu berkembang (ini saya komen lanjut dalam posting lain) berbanding pasaran di negara lain.

Orang Melayu, kalau kita bercakap tentang pelaburan, mereka hanya tahu ASB, TH, SSPN dan AHB ataupun yang jadi favourite selalu, emas. Luar dari kelompok ini, ramai yang masih keliru, tak tahu, tak pasti, tak yakin, tak nak ambil risiko.

Sayang, sungguh sayang.

Agenda saya hanya satu.

Mahu mendidik masyarakat (terutama sekali Muslim community) untuk belajar melabur dengan betul dan bukan hanya menyimpan. Ya, menyimpan dan melabur adalah dua perkara berbeza. Saya juga bermula sebagai seorang yang skeptik dengan pelaburan dana unit amanah (unit trust funds). Sehingga akhirnya, saya sendiri terjun dalam bidang pelaburan, dan saya sendiri kemudian menjadi pengurus dana untuk dana unit amanah. Ketika itu, saya bertugas menguruskan money market funds dan fixed income.

Semasa saya bertugas di institusi yang mengurus dana persaraan anda, saya mendapat peluang untuk merasai sendiri turun naik pasaran dunia. It has shaped me to be a better investor myself. Together with the knowledge I gained from my 4 year CFA journey. And I wrapped it up with IFP (Islamic Financial Planning). Tidak keterlaluan jika saya katakan, mungkin tidak ada financial planner Bumiputera lain yang memiliki CFA seperti saya.

Dan saya mahu gunakan kelebihan ini untuk membantu mereka yang memerlukan dan mahukannya. Post ini saya tulis sebagai pengenalan untuk anda mula meneliti peluang pelaburan lain selain dari 4 yang pertama. Insya Allah, di kesempatan lain, saya cuba kembangkan lagi di dalam topik lain.

Yang bercita-cita besar mahu didik masyarakat,
Noorul Azila Kamaruzzaman CFA, IFP